Research and culture

Posts tagged ‘Suhakam’

Suhakam vs Roderic

SUHAKAM PANDANG BERAT KENYATAAN RODERIC
Written by Admin
Sunday, 12 February 2012 02:29

ShareSURUHANJAYA Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) memandang berat dan bimbang dengan kenyataan Peguam Negeri Sabah, Datuk Roderic Fernandez bahawa Ordinan Tanah Sabah (OTS) yang berkuat kuasa pada tahun 1930 tidak membenarkan wujudnya Hak Tanah Adat yang baru di Sabah.

Pengerusinya Tan Sri Hasmy Agam berkata kenyataan Fernandez bahawa tidak ada peruntukan dalam OTS bagi anak negeri untuk membuat penempatan selepas 1930 dan menuntut Hak Tanah Adat adalah jelas bercanggah dengan kedudukan Hak Tanah Adat, yang merupakan hak asas Orang Asli dan Asal seperti mana dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Suruhanjaya juga rasa terkejut dengan komen Peguam Negeri Sabah kerana kedudukan yang dinyatakan ini adalah sama sekali baru dan bercanggah dengan semua dasar-dasar sedia ada dan interpretasi OTS, khususnya undang-undang adat dan perspektif bumiputera.

“Pendirian itu amat membimbangkan kerana ia mungkin akan terus menambahkan kesulitan yang sedang dihadapi oleh anak negeri Sabah berhubung pemilikan tanah di bawah dasar dan undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sehubungan itu, beliau menyeru pihak berkuasa agar dapat memastikan sebarang keputusan polisi oleh kerajaan negeri, terutamanya tentang hal-hal tanah mestilah berdasarkan konsultasi yang berkesan dan bermakna serta mendapat persetujuan daripada masayarakat dan pihak lain yang berminat.  Beliau mengulas kenyataan Fernandez bahawa tiada tanah baru berstatus NCR yang akan diwujudkan memandangkan hanya tanah yang ‘masih’ diduduki oleh pribumi sebelum tarikh penguatkuasaan Ordinan Tanah Sabah (SLO) yang mendapat pengiktirafan status itu.

Hasmy berkata suruhanjaya itu juga menggesa agar penangguhan kepada sebarang polisi baru berkaitan hal-hal tanah dibuat sehingga selesai Inkuiri Nasional mengenai tanah Orang Asal dan Asli. Inkuiri itu, yang diketuai oleh Hasmy, dimulakan di Sabah pada Jun tahun lepas diikuti Perak, Kelantan, Pahang, Johor dan Selangor.  Ia melibatkan beberapa penyelidik daripada Universiti Malaysia Sabah, Universiti Malaysia Sarawak dan Universiti Malaya bertujuan mendapatkan fakta selain melihat dari segi undang-undang, amalan dan prosedur yang melibatkan tanah Orang Asal dan Asli.

Laporan inkuiri itu, yang akan mengesyorkan penyelesaian bagi jangka masa panjang, sederhana dan pendek, dijangka dapat disiapkan pada Julai dan akan diserah kepada Parlimen, Dewan Undangan Negeri, kerajaan Persekutuan dan negeri. (BERNAMA)