Research and culture

Posts tagged ‘Rampasan’

Kenyataan Peguam negeri mengenai NCR merbahaya

KENYATAAN RODERIC BERHUBUNG NCR BERBAHAYA
Written by Admin
Saturday, 11 February 2012 09:45

Share TIMBALAN Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili tidak bersetuju dengan tafsiran Peguam Besar Negeri Sabah Datuk Roderic Fernandez berhubung peruntukan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di dalam Ordinan Tanah Sabah (SLO) bahawa ‘Tiada Tanah NCR selepas 1930’.  Menyifatkan ia satu tafsiran yang salah, beliau berkata tidak seperti di Sarawak, tiada tempoh tertentu berhubung tanah NCR di dalam konteks Sabah.

“Jika anda melihat dengan jelas Ordinan Tanah Sabah, ia tidak menyatakan sedemikian. Saya bukan seorang peguam terlatih, tetapi saya mempunyai beberapa latihan undang-undang asas dan saya fikir ia adalah satu tafsiran yang salah kerana penghakiman yang dilakukan Mahkamah Tinggi Borneo selama bertahun-tahun ini mengiktiraf asas tanah-tanah NCR yang diwujudkan di Sabah.

“Saya fikir ia adalah satu kenyataan yang menyedihkan dan berbahaya. Sudah pasti ia adalah hak mahkamah untuk memutuskan apabila ia dikemukakan di mahkamah tetapi keputusan-keputusan sebelum ini adalah konsisten dengan hak adat bumiputera boleh diwujudkan dalam ordinan tanah. Jika tidak semua keputusan mahkamah tentunya salah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat mengenai kemajuan Koridor Pembangunan Sabah di pejabat Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA), di sini Jumaat.

Ongkili, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Fernandez semalam bahawa tiada tanah NCR baru boleh diwujudkan kerana hanya tanah-tanah ‘yang masih’ didiami penduduk pribumi sebelum SLO berkuatkuasa diiktiraf mempunyai status berkenaan.

Fernandez juga dipetik sebagai berkata bahawa tiada peruntukan di dalam SLO bagi kaum pribumi yang diduduki selepas tahun 1930 dan didakwa sebagai NCR dan tuntutan bagi tanah NCR hari ini mesti membuktikan pemilikan tanah adalah sebelum 1931.

“Saya tidak tahu bagaimana beliau boleh membuat tafsiran sedemikian, tetapi apa yang boleh saya katakan bagi pihak PBS dan saya pasti Barisan Nasional juga akan berbuat demikian yakni jika beliau terbukti benar sebagaimana dinyatakan undang-undang menerusi mahkamah; maka saya fikir BN Sabah akan memastikan kami meminda ordinan berkenaan (SLO) bagi melindungi tanah NCR di Sabah.

“Jika beliau benar, PBS akan segera mengambil tindakan bagi kerajaan BN mengambil langkah dan melakukan pindaan dalam Ordinan Tanah Sabah bagi melindungi hak kaum pribumi Sabah dilindungi di bahawa ordinan berkenaan,” katanya. (BERNAMA)

peguam negeri mansuhkan NCR

NCR, JANGAN SAMPAI RAKYAT TERSALAH HUKUM
Written by Admin
Sunday, 12 February 2012 02:12

ShareSaudara Pengarang,

 

SAYA sangat terkejut dengan kenyataan yang disampaikan oleh Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Roderic Fernandez berhubung peruntukan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di dalam Ordinan Tanah Sabah (SLO) sebagai ‘Tiada tanah NCR selepas 1930.”

 

Jika inilah tafsiran yang beliau berikan, maka ini secara langsung menyebabkan kesahihan keputusan mahkamah bagi mana-mana perbicaraan lampau berkaitan dengan Tanah Adat sebagai diragui. Oleh itu, saya menganggap tafsiran ini sebagai tafsiran pribadi dan bukannya tafsiran rasmi.

 

Bagaimanapun saya melihat ini sebagai satu isu sensitif dan memberikan senjata kepada pembangkang untuk menawan Sabah dan perlu ditangani segera. Di luar sana terdapat berpuluh ribu penuntut Tanah Adat. Jika isu ini tidak ditangani dengan bijaksana dan tiada tafsiran undang-undang yang berwibawa dibuat, saya risau akan wujud keadaan tidak terkawal.

 

Justeru itu, sebagai pemimpin yang sentiasa berdamping dengan rakyat, saya memohon agar isu berkaitan tafsiran ini dibangkitkan segera dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri. Kita tidak mahu menghukum sesiapa. Kita hanya mahukan agar kebenaran diputuskan.

 

Kita juga mahu Majlis Peguam mampu memberikan pandangan profesional dan merujukannya dengan sebarang keputusan Mahkamah sebelumnya.

 

Sebagai pemimpin yang dilantik mewakili sekitar dua ribu lebih penuntut Tanah Adat penduduk asal dari Kemabong, tafsiran ini mewujudkan rasa tidak selamat dan kecewa penduduk. Saya menerima banyak pertanyaan, pandangan, keluhan dan tidak kurang juga menerima tempias kemarahan penduduk terhadap BN.

 

Saya bersyukur, kerana Datuk Seri Maximus Ongkili prihatin dan secara terbuka memperjuangkan tuntutan Tanah Adat menerusi Parti Bersatu Sabah. Terus terang, jika itu tafsiran undang-undang (tentang Tanah Adat) itu seperti yang dikatakan oleh Peguam Besar Negeri Sabah, maka sewajarnya satu pindaan perlu dibuat bertujuan melindungi dan memelihara hak asasi orang asal yang mempunyai tuntutan tanah adat.

 

Saya dapat tahu isu berkaitan Tanah Adat ini menjadi isu pembangkang. Saya merayu agar wakil rakyat BN berusaha untuk menjaga kebajikan rakyat seperti yang diterapkan oleh YAB Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi konsep 1Malaysia: ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.

 

Pada pandangan saya, biar pemimpin tersalah tafsir, jangan sampai rakyat tersalah hukum. Kami sayangkan BN tetapi apa daya kami membantu jika rakyat membuat keputusan yang silap kerana marah dengan Tafsiran Peguam Negeri yang agak celupar!

 

Salam Hormat,

 

SABINI BINTI ANSUMOR

Ketua Bahagian PBS Kemabong