Research and culture

Archive for the ‘Human rights’ Category

Kenyataan Peguam negeri mengenai NCR merbahaya

KENYATAAN RODERIC BERHUBUNG NCR BERBAHAYA
Written by Admin
Saturday, 11 February 2012 09:45

Share TIMBALAN Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili tidak bersetuju dengan tafsiran Peguam Besar Negeri Sabah Datuk Roderic Fernandez berhubung peruntukan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di dalam Ordinan Tanah Sabah (SLO) bahawa ‘Tiada Tanah NCR selepas 1930’.  Menyifatkan ia satu tafsiran yang salah, beliau berkata tidak seperti di Sarawak, tiada tempoh tertentu berhubung tanah NCR di dalam konteks Sabah.

“Jika anda melihat dengan jelas Ordinan Tanah Sabah, ia tidak menyatakan sedemikian. Saya bukan seorang peguam terlatih, tetapi saya mempunyai beberapa latihan undang-undang asas dan saya fikir ia adalah satu tafsiran yang salah kerana penghakiman yang dilakukan Mahkamah Tinggi Borneo selama bertahun-tahun ini mengiktiraf asas tanah-tanah NCR yang diwujudkan di Sabah.

“Saya fikir ia adalah satu kenyataan yang menyedihkan dan berbahaya. Sudah pasti ia adalah hak mahkamah untuk memutuskan apabila ia dikemukakan di mahkamah tetapi keputusan-keputusan sebelum ini adalah konsisten dengan hak adat bumiputera boleh diwujudkan dalam ordinan tanah. Jika tidak semua keputusan mahkamah tentunya salah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat mengenai kemajuan Koridor Pembangunan Sabah di pejabat Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA), di sini Jumaat.

Ongkili, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Fernandez semalam bahawa tiada tanah NCR baru boleh diwujudkan kerana hanya tanah-tanah ‘yang masih’ didiami penduduk pribumi sebelum SLO berkuatkuasa diiktiraf mempunyai status berkenaan.

Fernandez juga dipetik sebagai berkata bahawa tiada peruntukan di dalam SLO bagi kaum pribumi yang diduduki selepas tahun 1930 dan didakwa sebagai NCR dan tuntutan bagi tanah NCR hari ini mesti membuktikan pemilikan tanah adalah sebelum 1931.

“Saya tidak tahu bagaimana beliau boleh membuat tafsiran sedemikian, tetapi apa yang boleh saya katakan bagi pihak PBS dan saya pasti Barisan Nasional juga akan berbuat demikian yakni jika beliau terbukti benar sebagaimana dinyatakan undang-undang menerusi mahkamah; maka saya fikir BN Sabah akan memastikan kami meminda ordinan berkenaan (SLO) bagi melindungi tanah NCR di Sabah.

“Jika beliau benar, PBS akan segera mengambil tindakan bagi kerajaan BN mengambil langkah dan melakukan pindaan dalam Ordinan Tanah Sabah bagi melindungi hak kaum pribumi Sabah dilindungi di bahawa ordinan berkenaan,” katanya. (BERNAMA)

Advertisements

Suhakam vs Roderic

SUHAKAM PANDANG BERAT KENYATAAN RODERIC
Written by Admin
Sunday, 12 February 2012 02:29

ShareSURUHANJAYA Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) memandang berat dan bimbang dengan kenyataan Peguam Negeri Sabah, Datuk Roderic Fernandez bahawa Ordinan Tanah Sabah (OTS) yang berkuat kuasa pada tahun 1930 tidak membenarkan wujudnya Hak Tanah Adat yang baru di Sabah.

Pengerusinya Tan Sri Hasmy Agam berkata kenyataan Fernandez bahawa tidak ada peruntukan dalam OTS bagi anak negeri untuk membuat penempatan selepas 1930 dan menuntut Hak Tanah Adat adalah jelas bercanggah dengan kedudukan Hak Tanah Adat, yang merupakan hak asas Orang Asli dan Asal seperti mana dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Suruhanjaya juga rasa terkejut dengan komen Peguam Negeri Sabah kerana kedudukan yang dinyatakan ini adalah sama sekali baru dan bercanggah dengan semua dasar-dasar sedia ada dan interpretasi OTS, khususnya undang-undang adat dan perspektif bumiputera.

“Pendirian itu amat membimbangkan kerana ia mungkin akan terus menambahkan kesulitan yang sedang dihadapi oleh anak negeri Sabah berhubung pemilikan tanah di bawah dasar dan undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sehubungan itu, beliau menyeru pihak berkuasa agar dapat memastikan sebarang keputusan polisi oleh kerajaan negeri, terutamanya tentang hal-hal tanah mestilah berdasarkan konsultasi yang berkesan dan bermakna serta mendapat persetujuan daripada masayarakat dan pihak lain yang berminat.  Beliau mengulas kenyataan Fernandez bahawa tiada tanah baru berstatus NCR yang akan diwujudkan memandangkan hanya tanah yang ‘masih’ diduduki oleh pribumi sebelum tarikh penguatkuasaan Ordinan Tanah Sabah (SLO) yang mendapat pengiktirafan status itu.

Hasmy berkata suruhanjaya itu juga menggesa agar penangguhan kepada sebarang polisi baru berkaitan hal-hal tanah dibuat sehingga selesai Inkuiri Nasional mengenai tanah Orang Asal dan Asli. Inkuiri itu, yang diketuai oleh Hasmy, dimulakan di Sabah pada Jun tahun lepas diikuti Perak, Kelantan, Pahang, Johor dan Selangor.  Ia melibatkan beberapa penyelidik daripada Universiti Malaysia Sabah, Universiti Malaysia Sarawak dan Universiti Malaya bertujuan mendapatkan fakta selain melihat dari segi undang-undang, amalan dan prosedur yang melibatkan tanah Orang Asal dan Asli.

Laporan inkuiri itu, yang akan mengesyorkan penyelesaian bagi jangka masa panjang, sederhana dan pendek, dijangka dapat disiapkan pada Julai dan akan diserah kepada Parlimen, Dewan Undangan Negeri, kerajaan Persekutuan dan negeri. (BERNAMA)